SAPSAI SEGALA-GALANYA !

Saturday, 16 April 2016

LAUNGAN 'ALLAHUAKBAR' IRINGI SYAHADAH 4 SAUDARA BARU (6 GAMBAR & VIDEO)

No comments :

LAUNGAN ‘Allahuakbar’ bergema di Stadium Hoki National Bukit Jalil awal pagi ini selepas empat lagi individu non muslim mengucapkan dua kalimah syahadah pada program menampilkan penceramah Islam terkemuka, Dr Zakir Naik.


Individu pertama mengucapkan kalimah itu ialah seorang lelaki dari Punjab India, Hurender Bal Singh,23, selepas berpuas hati dengan penjelasan diberikan Dr. Zakir berhubung bukan Islam memeluk agama Islam untuk berkahwin.





Sebelum membimbing lelaki itu mengucapkan dua kalimah syahadah, Dr Zakir berulang kali bertanyakan kepadanya jika ada sesiapa yang memaksanya memeluk agama Islam.

“Tidak, tiada siapa yang paksa saya. Saya percaya kepada Allah dan Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah dan saya dengan rela hati mahu menjadi seorang Muslim,” kata lelaki Punjabi itu pada tepat jam 12 malam.

Tidak lama selepas Hurender mengucapkan dua kalimah syahadah, seorang wanita yang memakai jubah dan skaf hitam, Euroshia, telah menyatakan keinginannya untuk memeluk agama Islam.





Dr Zakir kemudian bertanya kepada wanita itu sekiranya beliau percayakan Allah dan Nabi Muhammad sebagai pesuruh Allah, dan dijawab wanita itu ‘ya’ dan terus membimbingnya mengucapkan dua kalimah syahadah dengan disusuli sorakan pengunjung sebagai memberi semangat dan ada antara mereka dilihat menitiskan air mata.

Individu ketiga mengucapkan pengakuan memeluk Islam ialah seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Michelle.



Dia yang mengenakan skaf merah mengumumkan ingin mengucapkan dua kalimah syahadah dan dibimbing oleh pendakwah itu untuk berbuat demikian.

Manakala syahadah keempat diucapkan oleh seorang lelaki dari Sarawak, Joel anak Along, 26, pada jam 2.03 pagi.

Dia yang berasal dari Miri menyatakan telah mempelajari tentang agama Islam sejak beberapa tahun lepas turut memutuskan untuk memeluk Islam selepas bertanyakan kepada Dr Zakir tentang hikmah syahadah.

Khamis lepas, Wu Nina Grace, 19, memeluk Islam dengan mengucapkan dua kalimah syahadah pada ceramah Dr Zakir dengan disaksikan hampir 40,000 orang di Padang Astaka, Kemaman, Terengganu.

Sejak tiba di negara ini pada 9 April lepas, ini merupakan ceramah pertama tokoh pendakwah terkenal itu di Kuala Lumpur selepas mengadakan ceramah di Terengganu.

Dr. Zakir sedang dalam rangka mengadakan syarahan di seluruh negara yang telah menarik kedatangan ribuan orang untuk mendengar ceramahnya.- 

No comments :

Post a Comment